Wednesday, December 4, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia benam Kanada untuk tempah slot suku akhir Piala Thomas

    AARHUS, DENMARK, 13 OKT – Skuad muda Malaysia melangkah ke suku akhir Piala Thomas selepas membelasah Kanada 5-0  di Arena Ceres di sini, hari ini.

    Membuka kempen dalam Kumpulan D, Malaysia menampilkan aksi pemanas badan dengan penuh bergaya sebelum berdepan dengan Jepun pada Khamis ekoran penarikan diri pasukan England.

    Seperti diramalkan, pemain perseorangan utama Malaysia, Lee Zii Jia membuka gelanggang dengan hanya mengambil masa 38 minit untuk menewaskan pemain nombor 39 dunia Brian Yang 21-18, 21-13 untuk mata pertama Malaysia.

    Pemain muda berusia 19 tahun dari Kanada itu memberi cabaran sengit pada awal set pertama tetapi gagal menandingi ketangkasan Zii Jia yang kemudian mengawal set kedua, sekali gus mencatatkan kemenangan bersih dalam dua pertemuan selepas pusingan pertama All England, Mac lalu.

    Mengulas kemenangannya, Zii Jia berkata beliau turun ke gelanggang dengan dua misi iaitu memastikan satu mata untuk negara dan mengekalkan status sebagai 10 pemain perseorangan terbaik dunia dengan menundukkan bintang Kanada yang semakin meningkat itu. 

    “Saya rasa paling penting hari ini ialah kekuatan mental. Saya rasa kekuatan mental lawan saya itu kurang sedikit, jadi saya memaksanya melakukan kesilapan. Memang dia seorang pemain bagus dengan kemahiran melakukan serangan dan mampu bermain defensif,” kata pemain nombor lapan dunia itu.

    Brian merupakan pemain sensasi dalam acara perseorangan lelaki selepas mengejutkan pemain nombor tujuh dunia, Jonatan Christie dari Indonesia pada Piala Sudirman baru-baru ini dan mengatasi pemain nombor 13 dunia, Kanta Tsuneyama dari Jepun pada perlawanan pembukaan mereka dalam Kumpulan D Piala Thomas di sini. – Bernama

    Gambar fail aksi Lee Zii Jia semasa bermain melawan Momota Kento dari Jepun di Piala Sudirman 2021, awal Oktober lalu. – Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda