Malaysia benam skuad muda negara

Oleh Fadhil Yunus

KEMBOJA, 7 NOV – Skuad muda negara bawah 19 tahun menemui rentak yang kurang memberangsangkan apabila sekali lagi tewas kepada Malaysia dengan jaringan 11-0 pada Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 peringkat kelayakan di Stadium Olimpik Kebangsaan di Phnom Penh, Kemboja, kelmarin.

Sebelum ini, Pasukan Tabuan Muda mempamerkan aksi yang kurang baik apabila tewas kepada Thailand 9-0 dalam perlawanan Kumpulan G. Semasa perlawanan tersebut, skuad muda Malaysia, Luqman Hakim Shamsudin, menyempurnakan hatriknya menerusi empat gol dalam separuh masa pertama pada minit ke-21, 22, 23 dan 41.

Terlebih dahulu, skuad muda negara yang menundukkan Kepulauan Mariana Utara 4-3 dalam aksi pertama beraksi dengan penuh berhati-hati sehingga berjaya mengawal serangan demi serangan skuad muda Malaysia sehingga pada minit ke-17.

Bagaimanapun, skuad muda Malaysia yang dibimbing Brad Maloney itu terus memecah kebuntuan perlawanan menerusi sentuhan Muhammad Azrin Afiq Rusmini disusuli jaringan Muhammad Azam Azmi dan Mohd Aiman Afif Mohd Afizul untuk Malaysia mendahului 7-0 dalam babak pertama. Begitupun, pemain muda negara, Aisan Aizuddin Abdullah Aiman sempat mencemaskan kubu skuad muda Malaysia apabila menemui ruang di sebelah kiri pintu dengan rembatan leretnya sipi melintasi pintu gol.

Sekali lagi, Malaysia, yang membuka kempen dengan kemenangan tipis 5-4 ke atas tuan rumah, mengambil sedikit masa untuk menemui jalan bagi menembusi pintu gol skuad negara yang dibimbing Ikhmarol Izzat Omar itu apabila terus garang mencipta empat lagi jaringan.

Pada minit ke-59, gawang pasukan negara sekali lagi digegarkan dengan tampanan Harith Haiqal Adam Afkar disusuli jaringan Azam, seminit berselang.

Meskipun sudah berpuas hati dengan keputusan, pasukan lawan masih belum menunjukkan aksi untuk meredakan perlawanan apabila Aiman Afif melakar hatriknya dengan jaringan susulannya pada minit ke-85 dan 90 sekali gus menghantui skuad muda negara yang masih diselubungi kekalahan 0-9 kepada Thailand.

Aksi kedua-dua pasukan pada perlawanan tersebut. – Gambar oleh Persekutuan Bolasepak Kemboja.