Malaysia benarkan pusat hiburan keluarga beroperasi mulai 15 julai

PUTRAJAYA, 10 JULAI – Pusat hiburan keluarga termasuk arked permainan dan pusat karaoke dibenarkan beroperasi kembali bermula 15 Julai ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kepenti-ngan 3,000 tenaga kerja terlibat dan sumbangan RM500 juta kepada pendapatan negara.

“Kelulusan ini melibatkan arked permainan, taman funfair indoor, hiburan pendidikan, gim permainan kanak-kanak, hiburan permainan berasaskan peralatan mesin dan hiburan teknologi serta pusat karaoke keluarga,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Kerajaan turut membenarkan aktiviti berkaraoke di majlis perkahwinan, namun  operasi pub dan disko masih tidak dibenarkan, katanya.

Memperincikan kelonggaran baharu itu, Ismail Sabri berkata pengoperasian adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, antaranya pengguna perlu memuat turun aplikasi MySejahtera. – Bernama