KUALA LUMPUR, 26 April – Malaysia mencatat kemajuan dalam agenda transformasi digitalnya dengan menduduki tempat ke-24 dalam Indeks Ketersambungan Global Huawei (GCI) 2017, meningkat satu tangga berbanding tempat ke-25 tahun lepas.
Menurut laporan di laman web GCI , Amerika Syarikat berada ditangga teratas senarai indeks yang terdiri daripada 50 negara itu, diikuti Singapura, Sweden, Switzerland dan United Kingdom. GCI tersebut menunjukkan prestasi ekonomi digital berdasarkan lima pemboleh teknologi iaitu jalur lebar, pusat data, awan, data besar dan Internet perkara.
Malaysia mendapat markah penuh dalam nisbah tinggi dalam penembusan jalur lebar mudah alih dan mencatat 8/10 untuk jalur lebar tetap dan mudah alih pada harga berpatutan, yang mana secara bandingannya tinggi berbanding penerima lain. Menurutnya, pada Bajet 2017 kerajaan telah memberi tumpuan yang berterusan ke atas ekonomi digital, dengan peruntukan untuk sumber serta pelaburan dalam pembangunan ekosistem e-dagang, pergerakan pembuat digital dan pengenalan Hab Digital Malaysia.
Pergerakan pembuat digital adalah satu inisiatif untuk merubah golongan belia Malaysia daripada pengguna kepada pengeluar digital, melalui kerjasama antara sektor awam dan swasta serta ahli akademik. Sementara itu, Hab Digital Malaysia ditubuhkan untuk komuniti pemula niaga dalam ekonomi digital, menawarkan nilai yang unik seperti jalur lebar berkelajuan amat tinggi, mentoring dan perkhidmatan la-tihan. – Bernama