Tuesday, April 23, 2024
25.2 C
Brunei

    -

    Malaysia berada di kedudukan ke-39 indeks sekuriti makanan global 2021

    KUALA LUMPUR, 21 JAN – Malaysia berada di kedudukan ke-39 dalam Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) dalam laporan yang dikeluarkan oleh Unit Perisikan Ekonomi (EIU) bagi tahun 2021 daripada 113 negara seluruh dunia.

    Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (gambar-Bernama) berkata kedudukan Malaysia dalam kalangan negara Asia Pasifik adalah lapan terbaik manakala kedua terbaik di Asia Tenggara selepas Singapura.

    “Namun begitu pengukuhan sekuriti makanan negara merupakan proses yang berterusan dan kita mestilah terus berusaha untuk meningkatkan kedudukan kita dalam GFSI ini seiring dengan hasrat Kerajaan untuk terus memperkasa sektor agromakanan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas,”  katanya ketika menyampaikan Amanat Tahun 2022 Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI). 

    Beliau berkata justeru, Pelan Tindakan Dasar Makanan Negara (Pelan Tindakan DSMN) 2021-2025 yang bakal dilancar dalam masa terdekat adalah strategi yang akan mendokong pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).

    Katanya fasa permulaan pelaksanaan DAN 2.0, dasar menyeluruh bagi memastikan sekuriti makanan negara berdaya saing serta mampan berlandaskan dasar-dasar utama kerajaan termasuk Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Agenda Pembangunan Mampan 2030, adalah antara pencapaian utama MAFI tahun lepas.

    “Bagaimanapun, sebarang perancangan dasar tidak akan berjaya tanpa pelaksanaan yang efektif dan berkesan supaya memberi impak lebih besar dalam kesejahteraan Keluarga Malaysia. DAN 2.0 bukan hanya satu dokumen dasar semata-mata malah ia mesti dijadikan panduan dan rujukan dalam segala usaha serta inisiatif yang diambil oleh MAFI.

    “Dalam hal ini, saya yakin MAFI akan melaksanakan kesemua strategi dan inisiatif yang telah digariskan di bawah DAN 2.0 serta Pelan Tindakan DSMN mengikut tempoh pelaksanaan bagi mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...