Malaysia bertemu Jepun di Piala Thomas

KUALA LUMPUR, 18 OGOS – Malaysia diundi berada dalam satu kumpulan bersama naib juara Piala Thomas 2018, Jepun, pada kejohanan dijadualkan berlangsung di Aarhus, Denmark dari 9 hingga 17 Oktober.

Undian yang berlangsung secara maya hari ini memberikan peluang kepada Malaysia untuk menebus kekalahan 2-3 kepada pasukan pilihan kedua itu pada Piala Thomas 2014, selepas kedua-dua pasukan diundi berada dalam Kumpulan D.

Selain Jepun, pasukan Malaysia yang merupakan pilihan ketujuh kejohanan badminton paling berprestij itu sepatutnya tidak menghadapi masalah untuk mengatasi England dan Kanada yang juga berada dalam kumpulan yang sama, bagi melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

Juara 13 kali dan pilihan utama kejohanan iaitu Indonesia akan mengetuai Kumpulan A bersama Taiwan, Algeria dan Thailand.

Tuan rumah yang diundi dalam Kumpulan B pula akan berhadapan Korea Selatan, Perancis dan Jerman, manakala juara bertahan China tidak akan menghadapi banyak masalah apabila diundi dalam Kumpulan C bersama India, Belanda dan Tahiti. – Bernama