Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Malaysia berusaha hapus jurang pembangunan Semenanjung, Sabah

    KOTA KINABALU, 20 MEI – Kerajaan Persekutuan sedang berusaha untuk menghapuskan jurang pembangunan antara Semenanjung Malaysia dan Sabah termasuk menerusi pembinaan rangkaian Lebuh raya Pan Borneo.

     Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kewujudan rangkaian Lebuh raya Pan Borneo tanpa tol yang dibina di Sabah bakal mampu mengubah keseluruhan kawasan di negeri tersebut dalam tempoh lima tahun akan datang.

    “Pada masa sama, kerajaan juga terus komited untuk melabur dalam bidang pendidikan dengan cara membaiki dan membina semula sekolah daif di kawasan pendalaman Sabah.

    “Saya difahamkan Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengamanahkan 113 sekolah daif di Sabah kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan JKR Sabah sebagai agensi pelaksana untuk menaik taraf sekolah-sekolah itu dengan kos RM1.02 bilion.

    “Sememangnya menjadi harapan Kerajaan Persekutuan untuk menyaksikan Sabah dan Sarawak turut bersama-sama menikmati pembangunan yang pesat seperti mana juga negeri-negeri lain,” katanya ketika berucap melancarkan siri Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini, hari ini.

    Perdana Menteri berkata kerajaan akan terus komited untuk merealisasikan sasaran sifar miskin tegar di 10 lokaliti di Sabah menjelang akhir 2025 seperti ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 menerusi penglibatan holistik semua jabatan serta agensi berkaitan.

    Beliau berkata 10 lokaliti yang telah dikenal pasti bagi fasa satu Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) di Sabah itu melibatkan Tongod, Pitas, Kota Belud, Kota Marudu, Beluran, Nabawan, Tuaran, Sipitang, Beaufort dan Ranau.

    Menurutnya, program pembasmian kemiskinan sebelum ini dilaksanakan secara ‘silo’ di hampir semua agensi terlibat, namun, kini peranan semua entiti digabungkan, dengan Jabatan Perdana Menteri menerusi Unit Perancang Ekonomi (EPU) serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) sebagai penyelaras dan pemudah cara program tersebut.

    “Kerajaan sedang mengadakan sesi libat urus menyeluruh dengan kerjasama kerajaan negeri dan pejabat daerah bagi mendapatkan input semua pihak termasuk peringkat akar umbi bagi memastikan sasaran ini dapat dicapai.” – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...