Wednesday, February 19, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia berusaha tingkat keselamatan pengguna secara konsisten

    KUALA LUMPUR, 16 Mei – Malaysia berusaha secara konsisten untuk meningkatkan keselamatan pengguna termasuk keselamatan jalan raya menerusi aktiviti standardisasi terutamanya dalam pembangunan standard, kata Menteri Sains, Teknologi & Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

    Menurut beliau, Jawatankuasa Standard Industri Pengangkutan dan jawatankuasa teknikalnya telah membangunkan 252 Standard Malaysia (SM) dengan beberapa produk termasuk topi keledar, tayar pneumatik baharu dan beg udara sudah mempunyai SM berkaitan.

    “Daripada jumlah keseluruhan 252 SM, 17 standard sudah dijadikan mandatori oleh pihak berkuasa.

    “Produk yang mematuhi standard mandatori pasti membantu pengguna untuk membezakan kualiti dan keselamatan produk menerusi tanda pensijilan dan label yang dikenali pihak berkuasa berkaitan,” katanya.

    “Malaysia juga adalah anggota aktif Jawatankuasa Teknikal 22 ISO Mengenai Kenderaan di Jalan Raya dan Jawatankuasa Teknikal 241 Mengenai Sistem Pengurusan Lalu LIntas Jalan Raya.

    “Penglibatan ini juga selari dengan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2014-2020, yang menyasar untuk mengurangkan kemalangan jalan raya, kecederaan dan kematian menjelang 2020,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Ke-39 Jawatankuasa Dasar Pengguna Organisasi Standardisasi Antarabangsa (COPOLCO), di sini hari ini.

    Jabatan Standard Malaysia telah ditubuhkan pada 24 Ogos, 1996 di bawah kementerian dan tertakluk di bawah Akta Standard Malaysia 1996, untuk memberikan keyakinan menerusi perkhidmatan standardisasi dan akredetasi yang boleh dipercayai untuk daya saing sejagat.

    Mesyuarat yang Bertemakan ‘Keselamatan Jalan Raya Menerusi Reka Bentuk’ dianjurkan buat kali kedua di sini oleh Jabatan Standard Malaysia dari 15 hingga 18 Mei. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda