Tuesday, April 16, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Malaysia cadang tambah siren dilengkapi amaran suara

    KUALA LUMPUR, 3 JAN – Kerajaan Malaysia bercadang menambah jumlah siren dilengkapi amaran suara di lokasi-lokasi berisiko berlakunya bencana banjir untuk mengarahkan penduduk berpindah.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan berkata ia merupakan antara cadangan penambahbaikan menghadapi bencana banjir yang dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Task Force Pengurusan Pasca Banjir Bencana Monsun Timur Laut 2021/2022 (MTL 2021/2022)  dipengerusikannya hari ini.

    Beliau berkata cadangan penambahbaikan turut meliputi Sistem Amaran Siren Banjir Berpusat dikoordinasi oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta kamera litar tertutup (CCTV) di stesen pemantauan aras air supaya penduduk bersedia untuk berpindah sekiranya air berada pada paras bahaya serta ramalan cuaca berangka.

    Katanya bagi meningkatkan tahap perlindungan infrastruktur saliran dan pantai, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mencadangkan peningkatan tahap perlindungan/kala ulangan reka bentuk infrastruktur saliran dan pantai daripada 100 tahun Average Recurrence Interval (ARI) kepada 200 tahun ARI.

    Selain itu, mesyuarat juga meneliti cadangan berhubung penambahbaikan komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam (CEPA) menerusi aktiviti-aktiviti latih amal banjir dan maklumat yang dihebah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

    “Kluster komunikasi strategik yang diterajui KKMM aktif melaksanakan hebahan maklumat sejak bermulanya MTL 2021/2022 dan usaha dipergiatkan sejak jangkaan akan berlaku gelombang kedua bagi memastikan penduduk khususnya dan negara amnya bersedia agar keadaan lebih terkawal,” katanya. – Bernama

    Pemandangan udara mengenai situasi terkini banjir yang melanda Kampung Morten, Melaka. Kejadian banjir di Kampung Morten ketika ini berpunca fenomena air laut pasang besar dan limpahan air Sungai Melaka berikutan hujan berterusan beberapa hari. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Iran tutup sementara kemudahan nuklear

    TEHRAN, 16 APRIL – Iran menutup sementara kemudahan nuklearnya atas ‘pertimbangan keselamatan’ susulan serangan peluru berpandu dan dron besar-besarannya ke atas Israel pada hujung...