KUALA LUMPUR, 27 DIS – Sebanyak 1,196 kes harian baharu COVID-19 dicatatkan negara hari ini, dengan satu kluster baharu dikesan dan satu kematian dilaporkan.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata tambahan kes harian berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 dalam negara mencecah 105,096 kes.
Dalam satu kenyataan berhubung perkembangan COVID-19, hari ini, katanya Selangor merupakan negeri dengan kes tertinggi iaitu sebanyak 392 kes, diikuti Kuala Lumpur (202), Johor (194) dan Sabah (186).
Selain itu, Negeri Sembilan mencatatkan 39 kes, Pulau Pinang (37), Kelantan (31), Perak (30), Kedah (27), Melaka (23), Labuan (12), Pahang (sembilan), Putrajaya (enam), Terengganu (lima) dan Sarawak (tiga).
Menurut Dr Noor Hisham, lima daripada keseluruhan jumlah kes baharu hari ini me-rupakan kes import dengan dua dikesan di Selangor dan tiga lagi di Sarawak.
Katanya 997 kes sembuh dicatatkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 sebanyak 84,411 kes atau 80.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – Bernama






























