Malaysia catat 823 kes baharu

KUALA LUMPUR, 25 OKT – Kes baharu positif COVID-19 di negara ini dalam tempoh 24 jam lepas kembali kepada tiga angka pada 823 kes, selain merekodkan lapan kematian baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkem-bangan terbaharu itu menjadikan kes terkumpul positif COVID-19 di Malaysia berjumlah 26,565 kes dengan kes aktif sebanyak 9,202. Beliau berkata kesemua jangkitan baharu itu adalah kes penularan dalam negara dengan 533 kes dilaporkan di Sabah.

“Jumlah ini (kes di Sabah hari ini) menunjukkan penurunan kes sebanyak 356 kes (40 peratus) berbanding jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan di Sabah semalam… ini berikutan jumlah kes baharu yang dicatatkan daripada Penjara Kepayan, Kota Kinabalu telah menurun daripada 434 kes baharu semalam kepada 67 kes baharu pada hari ini.

“Bagaimanapun, jumlah ini masih tinggi berbanding negeri-negeri lain. Usaha gigih mengesan lebih banyak kes akan diteruskan di seluruh Sabah yang kini mempunyai 17 daerah merah,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini. – Bernama