Malaysia catat 851 kes baharu

PUTRAJAYA, 2 DIS – Kes positif COVID-19 di Malaysia mencatatkan sedikit penurunan hari ini apabila 851 kes baharu dilaporkan, selepas lima hari mencatatkan kes baharu empat angka sejak 27 Nov.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu itu, empat merupakan kes import mana kala 847 kes adalah penularan COVID-19 dalam negara, menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan 10,686 kes.

“Jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia kini adalah 68,020 kes,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata sejumlah 658 kes sembuh COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya adalah 56,969 kes (83.8 peratus) daripada jumlah keseluruhan kes. – Bernama