Malaysia catat 95 kes pulih, 40 kes baharu, satu kematian

PUTRAJAYA, 27 APRIL – Angka kes pulih COVID-19 di Malaysia terus menunjukkan perkembangan positif apabila mencatatkan jumlah dua kali ganda daripada bilangan kes baharu yang dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sehingga pukul 12 tengah hari tadi, sebanyak 95 kes yang pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih adalah sebanyak 3,957 kes atau 67.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Jumlah kes positif baharu pula terus mencatatkan angka dua digit iaitu 40 kes, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,820 kes, kata beliau.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,764 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya pada sidang media harian berkaitan COVID-19 di sini hari ini.

Bagaimanapun menurutnya terdapat pertambahan satu lagi kes kematian berkaitan COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif kematian adalah sebanyak 99 kes, atau pun 1.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – Bernama

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sesi sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, kelmarin. – Bernama