Malaysia catat dua kes baharu, terendah sejak PKP

PUTRAJAYA, 10 JUN – Jumlah kes positif baharu COVID-19 hari ini adalah paling rendah dicatatkan negara sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan hanya dua kes dan tiada penularan dalam negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata dua kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif terkini 8,338 kes dengan kebolehjangkitan COVID-19 di negara ini sebanyak 1,206 kes dan kesemua mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Daripada dua kes baharu yang dilaporkan itu, satu merupakan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Satu lagi kes yang dicatatkan melibatkan bukan warganegara di mana kes ini dilaporkan di Kuching, Sarawak iaitu kes saringan kepada kontak rapat kes 8,303,” katanya pada sidang media harian perkembangan terkini COVID-19 di sini, hari ini.

Bagaimanapun Dr Noor Hisham berkata terdapat satu lagi kes kematian dicatatkan, menjadikan jumlah terkumpul 118 kes atau 1.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata kes kematian ke-118 (kes ke-824) merupakan lelaki warganegara berumur 61 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis serta komplikasi buah pinggang.

“Beliau juga mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling. Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 15 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 10 Jun, 7:03 pagi. KKM mengucapkan takziah kepada keluarga beliau,” katanya. – Bernama

Sebuah keluarga melakukan aktiviti riadah di sekitar pantai setelah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan kerajaan di Pantai Batu Burok kelmarin. Setakat ini, jumlah jangkitan COVID-19 seramai 8,338 pesakit dengan 118 kematian direkodkan. – Bernama