Malaysia catat kes kematian tertinggi

KUALA LUMPUR, 22 JAN – Wabak COVID-19 di Malaysia meragut 18 lagi nyawa hari ini iaitu jumlah kematian tertinggi dilaporkan dalam sehari manakala 3,631 kes baharu
dan 2,554 kes sembuh direkodkan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, perkembangan terbaharu ini menjadikan kes kematian akibat pandemik maut itu sehingga kini ialah 660, sementara kumulatif kes baharu 176,180 dengan kes aktif 42,814.

“Daripada jumlah kes baharu, 3,625 kes melibatkan kes penularan tempatan dan enam lagi kes import. Selangor mencatatkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 782 kes, diikuti Johor sebanyak 466 kes dan Sabah sebanyak 453 kes,” katanya dalam kenyataan perkembangan situasi COVID-19 hari ini.

Beliau turut memperincikan 251 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 102 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, 12 lagi kluster baharu dikesan menjadikan jumlah kluster aktif di negara sehingga kini ialah 335.

Beliau berkata kes kematian itu melibatkan sembilan dari Selangor, tiga dari Sabah, dua dari Kuala Lumpur, dua dari Sarawak serta masing-masing satu kes dari Johor dan Pulau Pinang.

Bagi kes baharu setiap negeri selain Selangor, Johor dan Sabah, yang mencatat kes baharu tertinggi, Kuala Lumpur merekodkan 435 kes, Sarawak (229 kes), Pulau Pinang (202 kes), Negeri Sembilan (197 kes), Terengganu (178 kes), Kedah (166 kes), Kelantan (161 kes), Perak (138 kes), Melaka (62 kes), Pahang (61 kes), Putrajaya (39 kes), Labuan (29 kes) dan Perlis 39 kes. – Bernama

Petugas Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan proses penyahkuman atau disinfeksi ketika Operasi Sanitasi Awam C19 bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di sekitar Kuala Lumpur, kelmarin. – Bernama