Malaysia catat rampasan 30 tan tenggiling

KUALA LUMPUR, Malaysia, 12 Feb – Pihak berkuasa Malaysia telah membuat rampasan kira-kira 30 tan tenggiling dan sisiknya bernilai kira-kira AS$2 juta dalam serbuan di sebuah kilang pemprosesan utama, polis dan ahli-ahli alam sekitar memberitahu hari ini. Katanya, terdapat kira-kira 1,800 kotak yang dipenuhi dengan tenggiling beku yang diletakkan dalam tiga peti sejuk, 572 lagi tenggiling beku diletakkan dalam enam peti sejuk, 61 tenggiling di dalam sangkar dan 361 kilogram (795 paun) sisik tenggiling, menurut polis.

Rantau Asia Tenggara kini sedang bergelut untuk menangani isu pemburuan haram dan penyeludupan tenggiling, mamalia yang paling banyak diperdagangkan di dunia.

Spesies yang semakin pupus, yang juga dikenali sebagai ‘scaly anteaters’, telah lama menjadi sasaran kepada pemburu memandangkan badan spesies tersebut sangat bernilai dalam perubatan tradisional di negara-negara termasuk China dan Vietnam sementara daging mereka dianggap sebagai makanan istimewa.

Berdasarkan daripada maklumat yang diperoleh, pegawai-pegawai hidupan liar di negeri Sabah telah menyerbu sebuah kilang dan sebuah gudang pada Khamis lalu, menurut kenyataan dari ketua polis tempatan Omar Mammah.

Polis menahan seorang lelaki berusia 35 tahun yang disyaki telah bertanggungjawab ke atas kilang itu sebagai sebahagian daripada sindiket haram. Operasi itu dipercayai berjalan selama tujuh tahun yang lalu dan polis percaya bahawa tenggiling telah dibeli daripada pemburu haram untuk diedarkan.

Rampasan itu juga menggambarkan Sabah dijadikan sebagai kawasan sasaran dalam mengedar haiwan, sebuah negeri di pulau Borneo yang telah terlibat dalam kes penyeludupan yang melibatkan lebih daripada 40 tan tenggiling sejak Ogos 2017. – AFP