Friday, April 19, 2024
30.4 C
Brunei

    -

    Malaysia, China kerjasama hasilkan produk sawit 

    KUALA LUMPUR, 26 JULAI – Syarikat-syarikat milik kerajaan China akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat Malaysia dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk mengeluarkan produk sawit di Malaysia melibatkan pelaburan langsung asing (FDI) bernilai RM6 bilion.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata produk sawit itu ialah minyak sayuran rawatan hidro (HVO) dan bahan api penerbangan mampan (SAF).

    Beliau berkata syarikat dari China ialah Shanxi Construction Investment Group Co Ltd (SCIG) dan Institute of Coal Chemistry, Chinese Academy of Sciences (ICC-CAS) manakala syarikat Malaysia terdiri dari Pengerang Maritime Industries Sdn Bhd (Benalec) serta Sabah Oil and Gas Development Corporation (SOGDC).

    “Usaha sama ini bakal menawarkan 1,000 peluang pekerjaan,” katanya semasa berucap merasmikan Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MIACES) 2022 di sini, hari ini.

    Beliau berkata pembinaan kilang HVO dan SAF pertama di Malaysia ini merupakan antara inisiatif untuk memacu sektor sawit Malaysia ke arah industri berteknologi dan bernilai tinggi.

    “Kerajaan akan terus menggalakkan FDI bagi mempelbagaikan produk agrikomoditi dengan nilai tambah tinggi,” katanya.

    Ismail Sabri berkata beliau juga berharap agar sektor agrikomoditi dapat membantu Malaysia menjana semula ekonomi dan mengembalikan kestabilan ekonomi rakyat.

    “Kerajaan sangat komited dalam usaha memacu pembangunan sektor agrikomoditi agar lebih kukuh, berdaya saing dan berorientasikan pasaran bagi memenuhi agenda pembangunan sosioekonomi negara,” katanya.

    Beliau berkata walaupun pengeluaran minyak sawit jatuh ke tahap rendah akibat cuaca buruk pada tahun lalu, sektor agrikomoditi tetap teguh.

    “Sehingga Februari tahun ini nilai komoditi eksport meningkat lima peratus iaitu RM31.6 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

    “Menjelang akhir tahun lalu, sektor ini mencapai nilai perdagangan sebanyak RM270.2 bilion iaitu peningkatan 39.7 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...