Malaysia-China meterai MoU

KUCHING, 10 Sept – Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Foshan Feichi Automobile Manufacture Co Ltd dari China hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membekal dan menyerahkan tiga bas sel bahan api hidrogen ke negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyaksikan majlis tersebut sementara Pengurus Besar SEDC, Soedirman Aini menandatangani bagi pihak SEDC dan Foshan Feichi Automobile diwakili Pengurus Besarnya, Jiang Yong.

Di bawah MoU, Foshan Feichi Automobile akan menyerahkan tiga unit bas sel bahan api hidrogen untuk digunakan sebagai kenderaan perintis oleh Sarawak.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU, Pengerusi SEDC, Tan Sri Abdul Aziz Husain berkata, ketiga-tiga bas terbabit dijangka tiba di sini pada Mac tahun depan.

Sementara itu, Abang Johari berkata, SEDC dan Foshan Feichi Automobile sedang berusaha menyelesaikan butiran projek, termasuk harga bas berkenaan.

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen antara Soedirman Aini (dua, kanan) dan Jiang Yong (dua, kiri) selepas menandatangani MoU antara SEDC dan Foshan Feichi Automobile Manufacture Co Ltd, China, kelmarin. – Bernama

Beliau berkata, pembelian tiga bas itu merupakan sebahagian daripada projek perintis dan Sarawak Energy diberi tugas membina dan mengendalikan stesen mengisi gas hidrogen di Bintawa dekat sini.

Stesen yang dijadualkan siap pada suku pertama 2019 akan menjadi yang pertama khas untuk pengangkutan di Asia Tenggara.

Tenaga Sarawak sedang membina kemudahan tersebut dengan kerjasama Linde Malaysia, sebahagian daripada Linde Group global dan pembekal gas perindustrian terkemuka di Malaysia.

Kedua-dua syarikat itu juga menandatangani MoU baru-baru ini untuk meneroka potensi pasaran hidrogen dan menjalankan kajian teknikal bersama untuk menilai teknologi keseluruhan rantaian nilai.

Terdahulu dalam ucapannya, ketua menteri berkata, projek itu akan bermula dengan hanya tiga bas kerana rakyat masih ragu-ragu mengenainya walaupun di beberapa negara kereta bahan api hidrogen digunakan secara meluas.

Menurutnya, Sarawak, dengan sumber air yang banyak, mampu menghasilkan hidrogen sebagai sumber tenaga pada masa depan dan pada masa itu Sarawak akan dapat mengawal pengeluaran tenaga, kos dan tarif.

Ini, katanya, pasti akan memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Program bas tanpa pelepasan asap itu adalah sebahagian daripada rancangan jangka panjang negeri untuk memastikan sistem pengangkutan awam Sarawak dijalankan dengan tenaga bersih, sejajar dengan trend dunia yang ada sekarang untuk melindungi alam sekitar. – Bernama