Malaysia dahului guna dompet mudah alih di Asia Tenggara

KUALA LUMPUR, 24 JUN – Malaysia mendahului dalam penggunaan dompet mudah alih/digital di Asia Tenggara, diikuti Filipina (36 peratus), Thailand (27 peratus) dan Singapura (26 peratus), menurut Kajian Impak Mastercard 2020.

Keputusan Edisi Pasaran Malaysia menunjukkan sebanyak 40 peratus daripada pengguna di Malaysia dilaporkan menggunakan lebih banyak dompet mudah alih/digital, diikuti kad debit tanpa sentuhan (26 peratus) dan kad kredit tanpa sentuhan (22 peratus). Oleh itu, penggunaan tunai merosot 64 peratus sejak awal pandemik COVID-19.

Perubahan dalam cara pembelian menunjukkan peralihan di seluruh rantau dengan pasaran lain seperti Singapura, Filipina dan Thailand turut mengurangkan penggunaan tunai, masing-masing sebanyak 67 peratus, 64 peratus dan 59 peratus serta menyaksikan peningkatan yang sama dalam penggunaan semua kaedah pembayaran tanpa sentuhan.

Kajian turut menyaksikan penggunaan pembayaran digital di Malaysia turut lebih tinggi berbanding pasaran lain di Asia Tenggara.

Pada April, pengguna melakukan lebih banyak pembayaran tanpa tunai termasuk pembayaran mudah alih dan QR sebanyak 18 peratus, berbanding 16 peratus di Filipina, 15 peratus di Singapura dan 15 peratus di Thailand. – Bernama