Sunday, September 24, 2023
22.3 C
Brunei

    -

    Malaysia dijangka alami El Nino

    KUALA LUMPUR, 7 JUN – Malaysia dijangka mengalami El Nino lemah bermula bulan ini dan meningkat ke tahap sederhana pada November depan, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.

    Beliau berkata fenomena itu dijangka mengakibatkan pengurangan jumlah hujan sehingga 20 hingga 40 peratus pada Jun hingga Oktober depan terutamanya negeri-negeri di selatan Semenanjung, barat Sarawak dan timur Sabah.

    “Kelaziman dalam tempoh Monsun Barat Daya adalah tiupan angin secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara lebih rendah dan keadaan atmosfera lebih stabil.

    Keadaan ini akan menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan sepanjang tempoh ini seterusnya mengakibatkan kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami taburan hujan yang lebih rendah.

    “Bagaimanapun, masih terdapat kemungkinan hujan lebat berserta angin kencang dan ribut petir berikutan fenomena garis badai masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah terutamanya pada awal pagi,” katanya ketika sesi penerangan situasi fenomena cuaca panas ekstrem di Dewan Rakyat, hari ini.

    Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata negara dijangka berada dalam fasa akhir Monsun Barat Daya pada September dengan jangkaan peningkatan hujan di kebanyakan negeri di Semenanjung dan taburan purata hujan pada paras purata dari 100 milimeter (mm) hingga 450 mm.

    Kebanyakan kawasan di Sarawak dijangka menerima jumlah hujan pada paras purata antara 200mm hingga 350mm manakala kawasan-kawasan di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan pula dijangka menerima taburan hujan pada paras purata iaitu sekitar 50 mm hingga 250 mm. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Lebih 30,000 orang dibawa ke hospital akibat strok haba

    TOKYO, 22 SEPT – Jepun pada Ogos menyaksikan sejumlah 34,835 individu dibawa ke hospital di seluruh negara dengan gejala strok haba, ketika negara itu...