Malaysia hab pelancongan Islam

KUALA LUMPUR, 15 April – Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi nombor satu dalam pasaran pelancongan Muslim global, dengan pesaing pantas berusaha merapatkan jurang, menurut satu kaji selidik tahunan yang paling komprehensif bagi sektor ini.

Kaji selidik Indeks Pelancongan Muslim Global 2018 oleh Mastercard-CrescentRating atau dikenali sebagai Mastercard-CrescentRating Global Muslim Travel Index (GMTI) 2018, yang meninjau 130 destinasi, memperlihatkan Malaysia kekal di kedudukan di teratas buat tahun kelapan berturut-turut.

Indonesia pula meneruskan pertumbuhan tahunannya apabila menduduki tempat kedua bersama Emiriah Arab Bersatu dalam penarafan keseluruhan.

Indeks ini juga mendedahkan bahawa, beberapa destinasi bukan ahli Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Asia sudah meningkatkan penarafan masing-masing berbekalkan usaha berterusan dalam menyesuaikan perkhidmatan disediakan untuk memenuhi keperluan dan menarik pasaran pelancongan Islam.

Singapura mengekalkan kedudukan di tangga teratas bagi pasaran destinasi bukan OIC, di hadapan Thailand dan United Kingdom manakala Jepun dan Taiwan memasuki lima tangga teratas buat kali pertama sejak GMTI dilancarkan.

Sementara itu, GMTI 2018 membuktikan bahawa pasaran pelancongan Islam bakal meneruskan pertumbuhan pantas untuk mencecah angka AS$220 bilion pada 2020. Pasaran ini dijangka akan terus meningkat sebanyak AS$80 bilion untuk mencecah angka AS$300 bilion menjelang 2026.

Pada 2017, dianggarkan kira-kira 131 juta ketibaan pelancong Islam dicatatkan di peringkat global – meningkat daripada 121 juta pada 2016 dan ini dijangka bertambah kepada 156 juta pengunjung menjelang 2020, merangkumi 10 peratus daripada segmen pelancongon.

“Kami kini mula melihat kesan pelaburan dan komitmen oleh destinasi di seluruh dunia terhadap pasaran pelancongan Islam, yang manfaatnya diperlihatkan oleh perubahan penarafan yang nyata.

“Usaha tertumpu kepada destinasi seperti Indonesia, Singapura, Jepun dan Taiwan menggunakan data dan maklumat daripada laporan GMTI terdahulu dan ia harus dipuji kerana negara berkenaan pada masa ini sudah merapatkan jurang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif CrescentRating & HalalTrip, Fazal Bahardeen.

“Pada tahun ini, kami sudah merombak kriteria indeks untuk mencerminkan strategi pertumbuhan yang dilaksanakan oleh destinasi berkenaan bagi mengalu-alukan pelancong Islam yang menyaksikan pergerakan positif dalam Indeks.

Kami juga sudah melancarkan ‘Model Pertumbuhan & Inovasi CrescentRating’ untuk membantu destinasi berkenaan menggunakan laporan ini secara praktikal bagi merancang strategi pertumbuhan dan inovasi mereka dalam segmen pelancongan yang pantas berkembang ini,” tambah Bahardeen. – Bernama