Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Malaysia hampiri separuh akhir AFF lepas Myanmar tarik diri

    KUALA LUMPUR, 15 FEB – Malaysia selangkah ke peringkat separuh akhir Kejuaraan Bawah 23 Tahun (B-23) Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022, selepas Myanmar sah menarik diri daripada kejohanan itu, hari ini.

    Skuad kendalian, Velizar Popov itu dijadualkan turun menentang Malaysia pada aksi pembukaan saingan Kumpulan B di Stadium Prince di Phnom Penh, Kemboja, petang ini, namun pihak penganjur terpaksa membatalkan perlawanan tersebut berikutan penarikan diri tersebut.

    Ia sekali gus menyaksikan saingan Kumpulan B kini hanya melibatkan Malaysia dan Laos, dengan kedua-dua pasukan dijadualkan bertemu di Stadium Prince, 18 Februari ini bagi menentukan juara kumpulan sekali gus automatik layak ke peringkat separuh akhir.

    Hanya tiga juara kumpulan dan satu naib juara terbaik akan mara ke peringkat separuh akhir, yang dijadualkan berlangsung pada 24 Februari manakala perlawanan akhir dijadualkan 26 Februari ini.

    Terdahulu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi hantaran di laman rasmi Facebooknya mengesahkan aksi sulung skuad bimbingan Brad Maloney, terpaksa dibatalkan selepas Myanmar menarik diri daripada kejohanan berikutan penularan COVID-19 dalam kalangan pemain pasukan berkenaan.

    Myanmar menjadi pasukan kedua menarik diri daripada kejohanan itu selepas juara bertahan Indonesia yang turut diundi dalam Kumpulan B bertindak sama pada Jumaat lalu, susulan tujuh pemain dan seorang pegawai pasukan disahkan positif COVID-19.

    Sementara itu Presiden AFF, Mejar Jeneral Khiev Sameth dalam satu kenyataan berkata ia merupakan suatu yang mengecewakan apabila Myanmar terpaksa menarik diri daripada kejohanan itu.

    “Kami faham bahawa pasukan tidak sabar untuk memulakan saingan dan peminat juga ternanti-nanti untuk menonton pasukan itu dalam perlawanan.

    “Bagaimanapun, kesihatan dan keselamatan semua yang terlibat adalah diutamakan dan kami amat memahami keputusan yang telah diambil. Kami doakan semua pemain dan pegawai cepat sembuh,” katanya.

    Sementara itu Kejuaraan Bawah 23 AFF 2022 yang bermula semalam menyaksikan pasukan tuan rumah menewaskan Brunei 6-0, manakala Timor Leste seri 2-2 dengan Filipina, dalam dua perlawanan Kumpulan A yang dimainkan di Stadium Kebangsaan Morodok Techo, Phnom Penh. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...