JAKARTA, 18 Feb – Kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung harapan supaya kerajaan Indonesia tidak memberhentikan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia, dipetik dan disiarkan secara meluas oleh media Indonesia semalam.
Agensi berita Antara dipetik berkata: “Malaysia Dirugikan Rencana Penghentian Pekerja Indonesia”. Media-media dalam talian di Indonesia juga melaporkan Malaysia akan kerugian jika berlaku pemberhentian pekerja dari Indonesia. Semalam, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri dilaporkan berharap tidak berlaku tindakan sedemikian berikutan kes penderaan sehingga membawa maut yang berlaku di Bukit Mertajam, Pulau Pinang baru-baru ini. “Kita (Malaysia) melahirkan rasa terkilan jika benar pihak Indonesia, mengikut laporan media, akan menghentikan penghantaran pembantu rumah ke negara kita disebabkan kes terpencil yang berlaku berhubung penderaan terhadap pembantu rumah,” kata Ahmad Zahid. – Bernama