Malaysia-Indonesia buka lembaran baharu

BANDUNG, INDONESIA, 11 NOV – Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri ke Indonesia bukan sahaja membuka laluan perjalanan antara kedua-dua negara tetapi juga lembaran baharu dalam hubungan dua hala yang bermula hampir 65 tahun lepas.

Kunjungan itu menyaksikan beberapa kejayaan khasnya pelaksanaan koridor perjalanan antara kedua-dua negara selepas hampir dua tahun perjalanan merentasi sempadan tidak dibenarkan dalam usaha mengekang pandemik COVID-19. 

Ismail Sabri juga memberi jaminan kepada mereka di Indonesia yang khuatir dengan kehadiran varian Delta Plus di Malaysia bahawa negara mempunyai kadar vaksinasi dan standard pencegahan jangkitan COVID-19 yang tinggi untuk memastikan koridor perjalanan dengan Indonesia berjalan lancar.

Pengumuman Travel Corridor Arrangement atau Vaccinated Travel Lane oleh Ismail Sabri dalam sidang media bersama Presiden Joko Widodo di Istana Bogor pada Rabu jelas menggembirakan semua pihak, dengan rakyat Malaysia di Jakarta menyatakan kegembiraan kerana berpeluang kembali ke tanah air. – Bernama

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) ketika melawat fasiliti pengeluaran produk ketenteraan dan komersil Indonesia milik PT Pindad, yang terlibat dalam industri pertahanan sejak 1983. –Bernama