Malaysia, Indonesia dan Singapura mula berpuasa hari ini

KUALA LUMPUR, 23 APRIL – Umat Islam di Malaysia, Indonesia dan Singapura akan mula berpuasa esok, 24 April 2020, menurut pengumuman pihak berkuasa keagamaan ketiga-tiga buah negara itu hari ini.

Di Malaysia, pengumuman dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad yang mengatakan tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari tersebut menurut perintah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Pengumuman itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini.

Menurut kenyataan itu juga, Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah serta Hisab.

Dalam pada itu, Indonesia turut mula berpuasa pada hari yang sama selepas Menteri Agama Indonesia, Fachrul Razi dalam sidang media menerusi laman YouTube rasmi Kementerian Agama malam ini, mengumumkan tarikh 1 Ramadan 1441 Hijrah adalah bersamaan 24 April 2020.

Pengumuman itu dibuat selepas selesai persidangan Isbat yang dilakukan melalui sidang video antara pegawai-pegawai kementerian, Majlis Agama Islam Indonesia dan anggota Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia (Ahli Parlimen).

Manakala Mufti Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir mengesahkan bahawa masyarakat Islam di negara itu juga akan mula berpuasa esok selepas pengisytiharan bermulanya 1 Ramadan bersamaan 24 April 2020. – Bernama/Agensi

Seorang wanita Islam memakai penutup mulut dan hidung dalam usaha pencegahan koronavirus, berjalan melepasi perhiasan bagi Ramadan di Geylang Serai, Singapura ketika negara itu bersama Malaysia dan Indonesia mengumumkan 1 Ramadan bermula 24 April 2020. – AFP