Monday, October 7, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia, Indonesia digesa tingkat kerjasama

    KUALA LUMPUR, 18 Sept — Malaysia dan Indonesia perlu bekerjasama untuk meningkatkan penggunaan minyak sawit dalam pasaran global dan menangani salah faham yang menyelubungi komoditi itu terutamanya di Eropah dan Amerika Syarikat, kata Pengarah Eksekutif Oil World Thomas Mielke.

    Beliau berkata dua pengeluar minyak sawit utama dunia itu perlu giat menyebarkan fakta sebenar bahawa minyak sawit dihasilkan secara lestari.

    “Ia juga perlu termasuk sekali usaha menambah baik standard dan kriteria perladangan yang sama seperti minyak kacang soya, minyak biji anggur dan juga minyak bunga matahari.

    “Terdapat banyak bantahan terhadap minyak sawit di banyak negara di dunia, tetapi, ini semua berdasarkan kepada maklumat palsu disebabkan oleh aktiviti pertubuhan bukan kerajaan.

    “Justeru itu, penting bagi Malaysia dan Indonesia untuk saling bekerjasama dan berbincang dengan Kesatuan Eropah (EU), sebagai contoh dan negara-negara lain untuk melindungi tanaman itu,” kata penganalisis minyak boleh dimakan itu kepada Bernama baru-baru ini.

    Mielke berkata kedua-dua negara perlu bekerjasama dalam aktiviti promosi di negara-negara yang mengehadkan penggunaan minyak sawit.

    Menurutnya, dalam tempoh empat hingga enam bulan akan datang, niaga hadapan minyak sawit mentah di Bursa Malaysia Derivative dijangka meningkat kepada antara paras RM2,400 hingga RM2,600 setan metrik. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda