Malaysia intai tiket acara recurve Olimpik Tokyo

KUALA LUMPUR, 1 SEPT – Skuad memanah recurve lelaki negara dijangka menyertai dua pusingan Kejohanan Piala Dunia pada tahun hadapan bagi memburu tiket acara berpasukan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang bakal berlangsung pada Julai 2021.

Dua pusingan kejohanan berkenaan adalah pusingan kedua di Shanghai, China dari 17 hingga 23 Mei dan pusingan ketiga di Paris, Perancis dari 22 hingga 27 Jun.

Ketua jurulatih skuad memanah kebangsaan, Lee Jae Hyung berkata skuad memanah recurve negara sebelum ini bakal menyertai Kejohanan Piala Asia di Bangkok, Thailand pada Mac 2021 sebagai medan pemanas badan sebelum menyertai dua Kejohanan Piala Dunia berkenaan.

“Kita masih ada ruang pada dua Kejohanan Piala Dunia yang menawarkan tiket dalam acara berpasukan recurve ke Sukan Olimpik Tokyo pada tahun hadapan,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini. – Bernama