Malaysia jadi tuan rumah Liga AFC

KUALA LUMPUR, 27 JULAI – Juara Liga Super enam kali Johor Darul Ta’zim (JDT) mempunyai kelebihan besar, selepas diumumkan Malaysia menjadi tuan rumah kepada perlawanan-perlawanan Zon Timur Kumpulan G dan H, Liga Juara-Juara AFC 2020, pada ketika penularan pandemik COVID-19.

Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) hari ini mengumumkan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) diberikan hak penganjuran untuk perlawanan Kumpulan G dan H, yang dijadualkan pada 17 Okt hingga 1 Nov. Selain itu, Malaysia juga akan menjadi tuan rumah Pusingan 16 pasukan, yang akan menyaksikan perlawanan bagi pasukan daripada kedua-dua kumpulan itu pada 4 Nov, dua perlawanan suku akhir pada 25 Nov dan satu perlawanan separuh akhir tiga hari kemudian.

Kesemua perlawanan pusingan kalah mati, dimainkan sekali sahaja, selain perlawanan akhir yang akan dijadualkan dimainkan di wilayah Barat, walaupun dalam perancangan awal, AFC menggunakan format perlawanan timbal balas, sebelum dibatalkan akibat pandemik di seluruh dunia pada Mac. – Bernama