Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Malaysia jalin kerjasama bangunkan sektor halal

    KUALA LUMPUR, 16 OGOS –  Malaysia sedang aktif menjalinkan kerjasama dengan sembilan buah negara untuk pembangunan sektor halal di peringkat global setakat 30 Jun 2022, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). 

    Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong berkata negara tersebut adalah Vietnam, Kemboja, Indonesia, Thailand, Arab Saudi, Rusia, Korea Selatan, Jepun dan Taiwan. 

    “Kerjasama tersebut adalah dalam bentuk pembangunan rangka ekosistem industri halal untuk mempercepatkan kerjasama ekonomi dan intergrasi antara negara kesalinghubungan antara pasaran serantau. 

    “Ia akan melonjakkan peluang pertumbuhan ekonomi yang melibatkan produk dan perkhidmatan halal melalui pengembangan akses pasaran, galakan aktiviti pelancongan mesra muslim dan promosi pelaburan asing ke dalam negara masing-masing,” katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini. 

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Seri Zurainah Musa mengenai senarai negara yang bekerjasama dengan Malaysia dalam pembangunan sektor industri halal di luar Malaysia serta usaha perkongsian kepakaran industri halal Malaysia dengan negara lain.

    Perkongsian kepakaran industri halal Malaysia dilakukan secara strategik untuk membentuk ekosistem industri halal global yang lebih komprehensif memandangkan industri halal global dijangka mencapai nilai AS$5 trillion menjelang 2030 berdasarkan Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP), katanya.

    “MITI melalui agensinya iaitu Halal Development Corporation (HDC) mempromosikan industri halal sebagai satu penanda aras terhadap nilai kualiti serta tahap keselamatan sesuatu barangan yang menepati piawaan atau standard antarabangsa dan bukan terhad kepada pasaran di negara muslim semata-mata,” katanya.

    Lim berkata kerjasama tersebut dapat menggalakkan ketulusan yang lebih tinggi, perkongsian maklumat, memudahcara perdagangan, kerjasama ekonomi, serta penyeragaman piawaan dan peraturan antarabangsa berkaitan pensijilan halal Malaysia di mana ia akan membuka pasaran yang lebih luas kepada industri halal tempatan. – Bernama

    Datuk Lim Ban Hong semasa menghadiri Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen, kelmarin. Beliau berkata Malaysia sedang aktif menjalinkan kerjasama dengan sembilan buah negara untuk pembangunan sektor halal di peringkat global. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...