Wednesday, April 17, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Malaysia ke fasa endemik, buka semula sempadan a’bangsa

    KUALA LUMPUR, 1 APRIL – Tepat 12 tengah malam tadi, Malaysia membuka semula sempadan antarabangsanya kepada pengembara luar, untuk kembali meletakkan negara pada posisi terbaik pemulihan ekonomi, khususnya sektor pelancongan.

    Pembukaan itu selaras Fasa Peralihan Ke Endemik yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob awal bulan lepas, melibatkan pintu masuk udara, darat dan laut, yang turut membantu penyatuan keluarga yang terpisah antara negara.

    Pintu sempadan Johor-Singapura antara paling meriah tengah malam tadi, menyaksikan kepulangan rakyat negara ini terutamanya mereka yang mencari rezeki di negara seberang tambak itu, disambut tangisan kesyukuran, nyanyian Negaraku dan sorakan kegembiraan.

    Tinjauan Bernama di beberapa kawasan khususnya pintu keluar masuk hari ini seperti di Johor Bahru Sentral juga mendapati, jumlah kenderaan semakin meningkat selain Larkin Sentral yang ‘meriah’ dengan kedatangan pengunjung dari Singapura, yang mahu mendapatkan tiket ke destinasi masing-masing.

    Sebaliknya di Kelantan, tiga pintu sempadan iaitu di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga, Tanah Merah; ICQS Rantau Panjang, Pasir Mas dan ICQS Pengkalan Kubor, masih belum dibuka untuk pergerakan pengembara antara Malaysia dan Thailand.

    Dalam pada itu, masih ramai pengembara di pintu sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian terkandas, dan tidak dapat memasuki negara ini kerana kekeliruan berhubung prosedur operasi standard (SOP). Tinjauan mendapati ada pengembara yang tidak melakukan ujian Tindak Balas Berantai Polimerase Masa Nyata (RT-PCR) di Thailand, selain gagal mendaftar butiran peribadi menerusi aplikasi MySejahtera seperti yang ditetapkan kerajaan Malaysia.

    Keadaan di ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah, pula lengang dan tidak banyak kenderaan keluar masuk walaupun ia dibuka seawal 6 pagi, manakala hanya beberapa individu dilihat berjalan kaki memasuki pintu sempadan, rata-rata untuk mengunjungi keluarga mereka.

    Jururawat Noorasyikin Bunnawi, 31, antara yang ditemui di pintu sempadan itu, gembira kerana dapat bertemu semula dengan ibunya Siti Zubaidah Abdullah, 62, seorang warga Thailand, yang memerlukan rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur. Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pula menjadi yang terawal menerima kemasukan pelancong antarabangsa melalui pengangkutan udara, apabila pesawat Saudi Airlines yang turut membawa bersama jemaah umrah tempatan tiba kira-kira 1 pagi tadi. Sementara itu, Bolo Susanto dan Yandi Ongkojo yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dari Surabaya, Indonesia menyifatkan pembukaan semula itu tepat pada masa, khususnya untuk Bolo mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Melaka.

    “Boleh dikatakan penerbangan kali ini paling mudah urusannya, dengan bapa yang berkerusi roda, kami telah dibantu sebaiknya. Jangan lupa MySejahtera,” pesan Yandi yang sering ke Malaysia untuk pelancongan kesihatan. – Bernama

    TANGISAN KEGEMBIRAAN… Pertemuan dua beranak, Noorasyikin Bunnawi, 31, (kiri) memeluk ibunya Siti Zubaidah Abdullah, 62 (kanan) yang terpisah sejak tahun lalu berikutan pandemik berjaya pulang ke Malaysia selepas kerajaan Malaysia dan Thailand membuka semula sempadan negara mulai hari ini ketika memasuki Fasa Peralihan ke Endamik ketika tinjauan Bernama di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Bukit Kayu Hitam. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China alu-alukan pelaburan asing dari Jerman

    BEIJING, 16 APRIL - Timbalan Perdana Menteri China, He Lifeng bertemu dengan delegasi ekonomi Jerman yang mengiringi Canselor Jerman, Olaf Scholz dalam lawatan ke...