Malaysia ‘kecewa’ dengan Myanmar

KUALA LUMPUR, 4 OKT – Menteri luar Malaysia meluahkan kekecewaannya hari ini terhadap kegagalan Myanmar untuk bekerjasama dengan wakil khas ASEAN, memberi amaran bahawa ketua junta negara itu boleh ditegah daripada menyertai sidang kemuncak seterusnya blok berkenaan.

ASEAN berada di bawah tekanan untuk menangani rampasan kuasa di Myanmar pada Februari lalu dan seterusnya tindakan tegas terhadap pembantah yang telah membunuh lebih 1,100 orang.

Ahli-ahli kumpulan 10 buah negara itu telah mendesak bagi penyelesaian kepada kekacauan itu, dengan seorang pegawai Brunei telah dipilih sebagai wakil untuk ke Myanmar bagi bertemu dengan kumpulan-kumpulan penentang.

Tetapi keengganan untuk membenarkan wakil berkenaan bertemu pemimpin yang digulingkan, Aung San Suu Kyi telah mengecewakan Malaysia semasa satu panggilan video antara menteri-menteri luar ASEAN hari ini.

“Kami kecewa bahawa pihak berkuasa Myanmar tidak bekerjasama dengan Wakil Khas ASEAN mengenai Myanmar,” Menteri Luar Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah menerusi Twitter.

“Kecuali terdapat perkembangan, sukar untuk membenarkan pengerusi SAC di Sidang Kemuncak ASEAN,” tambah beliau, merujuk kepada ketua junta Myanmar, Min Aung Hlaing.

Pemimpin-pemimpin blok Asia Tenggara dijadual mengadakan sidang kemuncak pada penghujung Oktober ini. – AFP