KUALA LUMPUR, 22 MEI – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) berkata langkah Indonesia untuk menarik balik larangan eksport minyak sawit berkuat kuasa 23 Mei 2022 kemungkinan menyebabkan harga minyak sawit mentah (MSM) terkesan.
Namun begitu, kementerian itu menambah tidak akan ada penurunan harga yang mendadak memandangkan pasaran menjangkakan bahawa larangan eksport ini hanya bersifat sementara.
Menteri Datuk Zuraida Kamaruddin dalam satu kenyataan hari ini mengingatkan semua pengusaha kelapa sawit Malaysia termasuk firma perladangan dan pekebun kecil supaya tenang dan tidak terlalu bimbang dengan perkembangan terkini.
Tambahan pula, penurunan harga minyak sawit (MSM) baru-baru ini telah pun mengambil kira kemungkinan ini.
“Penganalisis pasaran turut menjangkakan pengusaha minyak sawit Malaysia bakal meraih faedah terbesar dalam jangka panjang kerana mereka mampu menjual MSM pada harga tinggi, sekali gus meningkatkan margin keuntungan bagi pertengahan kedua 2022, ditambah dengan pengeluaran yang lebih tinggi tahun ke tahun dan suku ke suku,” jelas beliau. – Bernama