Malaysia kekal terajui Indikator Ekonomi Islam Global

KUALA LUMPUR, 5 OGOS – Malaysia terus menerajui Indikator Ekonomi Islam Global (GIEI) bagi tahun ketujuh berturut-turut, dipacu oleh ekosistem ekonomi halal yang pesat susulan negara memberi pengaruh yang besar dalam sektor kewangan Islam dan makanan halal.

Pengerusi Perbadanan Pemba-ngunan Halal (HDC), Datuk Mahmud Abbas berkata Malaysia mengesahkan kedudukannya sebagai hab halal global terkemuka pada 2020 dengan merekodkan nilai eksport tahunan RM31 bilion bagi produk halal dan pada masa sama menarik pelaburan bernilai RM0.6 bilion kepada Taman Halal Malaysia.

“Setakat ini, sebanyak 28,000 pekerjaan telah diwujudkan menerusi usaha ini.

“Malaysia mempunyai 6,727 syarikat yang mempunyai persijilan halal, dan daripada jumlah itu 1,507 adalah pengeksport dan lebih 1,300 merupakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya semasa menyampaikan ucapan alu-aluan di Forum Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC)-HDC 2021 bertemakan ‘Memacu Pertumbuhan Melalui Pasaran Modal Islam’ yang diadakan secara maya pada Khamis. Beliau berkata Malaysia juga mempunyai 1.3 juta perniagaan, dan daripada jumlah itu, 90 peratus dikategorikan sebagai PKS, termasuk 200,000 yang menjalankan perniagaan berkaitan halal.

Sememangnya terdapat potensi yang amat besar untuk industri halal ini berkembang lebih jauh, katanya. – Bernama