Malaysia kembali catat sifar kes penularan tempatan

PUTRAJAYA, 8 JULAI – Malaysia kembali mencatat sifar kes penularan di dalam negara atau penularan tempatan hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata hanya tiga kes baharu yang dilaporkan hari ini iaitu kes import dalam kalangan rakyat Malaysia yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,677 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 70 kes dan mereka telah diasingkan untuk diberi rawatan.

“Sehingga kini terdapat dua kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan satu kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini, hari ini. – Bernama