KUALA LUMPUR, 29 Jan – Pelancaran Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini merupakan bukti komitmen kerajaan dalam membendung ketirisan wang.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan penjimatan wang dan dapat dimanfaatkan untuk pembangunan negara.
“NACP memperlihatkan bukti kesungguhan kerajaan membentuk eko-sistem yang akan memerangi segala bentuk rasuah dan salah guna kuasa untuk generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berdasarkan laporan Global Financial Integrity dalam tempoh 2005-2017, Malaysia mencatatkan kira-kira RM1.8 trilion pengaliran keluar wang secara haram, yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.
NACP menggariskan enam strategi dan 115 inisiatif yang merangkumi tadbir urus yang baik, integriti dan anti-rasuah.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia akan bertindak sebagai badan peneraju bagi pelaksanaan NACP manakala Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Negara (GIACC) pula akan memantau dan menilai keberhasilan dan pencapain pelan tersebut.
Mohamad Azmin berkata Kementerian Hal Ehwal Ekonomi juga bersedia memberikan komitmen dalam melaksanakan strategi dan inisiatif yang telah digariskan. – Bernama

































