Malaysia lancar projek demonstrasi 5G

MANCHESTER, 6 OKT – Malaysia bakal menjadi antara negara pertama di  Asia untuk memanfaatkan teknologi rangkaian generasi kelima (5G) dengan pelancaran projek demonstrasi 5G di seluruh negara pada bulan depan.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Persatuan GSM (GSMA) Mats Granryd  berkata Malaysia perlu mengambil langkah secara beransur-ansur dan berhati-hati dalam melaksanakan 5G bagi mendapatkan lebih banyak ruang dan masa untuk bereksperimen dan belajar daripada negara yang sudah dalam fasa maju dalam pelaksanaan 5G.

“Bukan mudah untuk menjadi yang pertama melaksanakan 5G. Mungkin Malaysia boleh menjadi nombor dua atau tiga kerana ia akan memberikan lebih banyak ruang untuk belajar daripada kesilapan dilakukan pihak lain.

“Tetapi Malaysia juga tidak boleh mengambil pendekatan tunggu dan lihat dalam memanfaatkan 5G, walaupun teknologi itu masih belum boleh didapati secara meluas, kerana proses untuk guna pakainya boleh berlarutan selama beberapa tahun,” katanya kepada Bernama. – Bernama