Friday, April 19, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Malaysia lancar vaksinasi kanak-kanak

    KUALA LUMPUR, 3 FEB – Pemberian vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) akan dilakukan secara sukarela dan tiada sekatan akan dikenakan untuk kanak-kanak tidak divaksinasi. 

    Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata perkara itu bagi membina keyakinan ibu bapa kerana pihaknya sedar masih terdapat ramai ibu bapa yang mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum berdaftar untuk PICKids. 

    “Setakat tempahan janji temu dibuka semalam, 15 peratus telah berdaftar. PICKids adalah secara sukarela, untuk memberi masa kepada ibu bapa untuk membuat keputusan yang tepat. 

    “Saya tahu ramai ibu bapa masih bimbang. Tapi tidak mengapa, kita akan terus berikan maklumat terkini kepada mereka,” katanya. 

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan PICKids di Hospital Tunku Azizah di sini hari ini.

    Pelbagai reaksi dan ragam kanak-kanak ketika melalui proses suntikan vaksin COVID-19 yang sempat dirakam lensa pada hari pertama Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids) berumur lima hingga 11 tahun di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) World Trade Centre Kuala Lumpur semalam. – Bernama

    Khairy berkata program PICKids untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun itu adalah penting bagi mengelakkan kumpulan itu daripada komplikasi Multisystem Inflammation Syndrome in Children (MIS-C) yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), kesan Long COVID dan kematian.

    Beliau berkata sejak 1 Jan tahun ini, sebanyak 9,413 kes COVID-19 direkodkan melibatkan kanak-kanak berusia tujuh hingga 11 tahun yang tidak dilindungi vaksin.

    Khairy juga memberi jaminan Kementerian Kesihatan (KKM) tidak terburu-buru dalam membuat keputusan untuk memberikan vaksin Comirnaty 10mcg Concentrate for Dispersion (PfizerBioNTech) untuk PICKids dan keputusan dibuat setelah meneliti data klinikal dan real world data dari negara lain seperti Singapura.

    “Sebenarnya pihak Food and Drug Aministration (FDA) (Pentadbiran Ma-kanan dan Ubat-ubatan) di Amerika Syarikat telah pun luluskan vaksin untuk kanak-kanak Oktober lepas, namun pakar kita ambil masa untuk buat kajian terlebih dahulu,” katanya.

    Beliau berkata berdasarkan data, didapati pemberian vaksin iaitu satu pertiga daripada dos dewasa, kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun tidak menyebabkan kesan serius sebaliknya kesan biasa seperti demam. – Bernama 

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...