Malaysia lanjut tempoh kuarantin wajib pengembara

KUALA LUMPUR, 24 MEI – Tempoh kuarantin wajib ke atas pengembara warga tempatan dan bukan warganegara dari negara selain Sri Lanka, Bangladesh, Nepal dan Pakistan dilanjutkan daripada 10 hari kepada 14 hari, berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tempoh kuarantin 14 hari ini akan dilanjutkan selama tujuh hari lagi, menjadikan jumlah kuarantin 21 hari sekiranya terdapat keperluan berdasarkan hasil penilaian risiko pada hari ke-14.

“Kuarantin tambahan ini akan dilaksanakan di stesen kuarantin yang sama. Ujian ulangan RT-PCR COVID-19 dilakukan pada hari ke-10. Sekiranya dilanjutkan tempoh kuarantin sehingga 21 hari, ujian ulangan RT-PCR COVID-19 perlu dibuat pada hari ke-18,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, tempoh kuarantin wajib ke atas pengembara yang tiba dari Sri Lanka, Bangladesh, Nepal dan Pakistan dilanjutkan daripada 14 hari kepada 21 hari di stesen kuarantin ditetapkan kerajaan serta arahan kuarantin wajib selama 21 hari ke atas pengembara yang tiba dari India dikekalkan.  – Bernama