Monday, December 9, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia lapor 375 kes baharu

    KUALA LUMPUR, 8 OKT – Semua negeri dan Wilayah Persekutuan kecuali Perlis mencatatkan kes baharu COVID-19 hari ini menjadikan jumlah kes baharu sebanyak 375 kes, selain kemunculan lima kluster baharu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

    Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah itu, 371 merupakan penularan tempatan dan empat lagi merupakan kes import, dengan kes tertinggi dicatatkan di Sabah sebanyak 271 kes.

    “Daripada 371 kes penularan tempatan, 342 kes melibatkan warganegara dan 29 kes lagi bukan warganegara manakala kesemua kes import melibatkan bukan warganegara yang mengembara dari India (dua kes) dan Belgium (dua kes),” katanya dalam sidang akhbar harian beliau yang disiarkan melalui Facebook  berhubung situasi COVID-19 di sini, hari ini.

    Ini menjadikan jumlah kes positif keseluruhan adalah 14,368 kes dengan jumlah kes aktif kebolehjangkitan sebanyak 3,703 kes, katanya.

    Sementara itu, terdapat 18 kes yang telah pulih menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 10,519 kes atau 73.21 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

    Dr Noor Hisham berkata terdapat pertambahan lima kematian berkaitan COVID-19 hari ini yang semuanya direkodkan di Sabah melibatkan warga tempatan, menjadikan jumlah keseluruhan kes maut kini 146 kes atau 1.02 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

    Beliau berkata sehingga kini terdapat 60 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 20 kes memerlukan bantuan pernafasan. – Bernama

    Seramai 250 guru sekolah di Labuan menjalani ujian pengesahan serta saringan kedua swab COVID-19 dan polymerase chain reaction (PCR) di Pusat Kokurikulum Negeri Wilayah Persekutuan Labuan, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda