Malaysia lapor 6 kes positif baharu

KUALA LUMPUR, 8 MAC – Enam kes baharu COVID-19 dilaporkan setakat 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif positif COVID-19 di negara ini sebanyak 99 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kesemua kes itu telah dikesan dan diasingkan untuk rawatan selanjutnya selain kontak-kontak rapat bagi kes ini juga sedang dikenal pasti untuk siasatan dan pengambilan sampel selanjutnya.

Kesemua kes baharu yang dilaporkan pada hari ini terdiri daripada kontak-kontak rapat kluster kes ke-26,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kesemua kes ini telah dikesan semasa aktiviti pengesanan kontak dan telah dimasukkan ke hospital bagi isolasi dan rawatan selanjutnya.

Aktiviti pengesanan kontak rapat sedang dijalankan sehingga punca jangkitan terjadi dapat dikenal pasti, katanya.

Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah itu, sebanyak 18 kes dikesan di kalangan pesakit dalam siasatan (PUI) jangkitan COVID-19, dengan 79 kes daripada kalangan kontak rapat dan dua lagi kes daripada Misi Bantuan Kemanusiaan.

“Daripada jumlah ini, sebanyak dua kes telah dilaporkan memerlukan bantuan pernafasan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi. Kes-kes ini juga telah diberikan rawatan anti-viral,” jelasnya. – Bernama