Malaysia mahu jadi peneraju aeroangkasa

SEBERANG PRAI, 21 Feb – Malaysia mahu menjadi negara peneraju aeroangkasa di Asia Tenggara menjelang 2030, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking.

Menjelang 2030, industri aeroangkasa dijangka akan menjana pendapatan tahunan sebanyak RM55.2 bilion dan mewujudkan lebih 32,000 pekerjaan berpendapatan tinggi.

“Di bawah Rancangan Malaysia ke-11, kerajaan telah mengenal pasti sektor aeroangkasa sebagai salah satu daripada industri-industri pertumbuhan yang baharu untuk Malaysia,” katanya ketika melancarkan kilang baharu milik SAM Engineering and Equipment (M) Bhd di sini hari ini.

Kerajaan berhasrat untuk membawa ekonomi Malaysia beralih daripada berintensifkan buruh kepada ekonomi yang mempunyai nilai tambahan yang tinggi, berpengetahuan serta sebagai ekonomi berasaskan inovasi, dengan tumpuan kepada sektor perkilangan dan perkhidmatan.

“Pada 2017, industri aeroangkasa Malaysia mencatatkan hasil berjumlah RM13.5 bilion dengan pembuatan aeroangkasa menyumbang sebanyak 48 peratus daripada jumlah tersebut. – Bernama

Datuk Ignatius Darell Leiking (dua kiri) bersama Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow (dua kanan) ketika lawatan pada Majlis Perasmian SAM Precision Engineering (M) Sdn Bhd kelmarin. – Bernama