Malaysia mara ke final

KUALA LUMPUR, 16 FEB – Selepas mengesahkan slot ke Piala Thomas, skuad badminton lelaki Malaysia terus beraksi cemerlang apabila berjaya mara ke final Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2020 selepas menang bergaya dengan menewaskan Jepun 3-0 pada aksi separuh akhir, hari ini.

Pemain Perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia menghadiahkan mata pertama negara dengan kemenangan 21-11, 8-21, 21-11 ke atas pemain di ranking ke-10 dunia Kanta Tsuneyama dari Jepun, dalam aksi yang berlangsung hampir satu jam di Rizal Memoriul Coliseum, Manila.

Kecemerlangan skuad Malaysia diteruskan dengan gandingan di ranking kelapan dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang hanya memerlukan 35 minit untuk menjinakkan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 21-18, 21-15.

Mata kemenangan Malaysia dihadiahkan pemain muda perseorangan Cheam June Wei yang mencipta kejutan menumbangkan pemain ke-13 dunia, Kento Nishimoto 21-19, 3-21, 21-12 dalam perlawanan selama 54 minit.

Menanti Malaysia di final esok adalah juara bertahan, Indonesia selepas mengatasi India 3-2 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Terdahulu, perjalanan skuad wanita Malaysia yang turut layak secara merit ke Piala Uber 2020 gagal layak ke separuh akhir selepas tewas 0-3 kepada Jepun dalam aksi saingan wanita.

Perseorangan wanita Malaysia, Soniia Cheah tewas 17-21, 18-21 kepada Akane Yamaguchi, diikuti kekalahan 11-21, 4-21 Lee Meng Yean-Yap Cheng Wen di tangan gandingan Jepun Yuki Fukushima-Sayaka Hirota sebelum Kisona Selvaduray kecundang 13-21, 13-21 kepada Sayaka Takahashi.

Pada kejohanan edisi 2018 yang berlangsung di Alor Setar, Kedah, skuad badminton lelaki Malaysia berkongsi kedudukan ketiga bersama Korea Selatan sementara skuad wanita kandas di peringkat separuh akhir.

Piala Thomas dan Piala Uber 2020 dijadual berlangsung di Aarhus, Denmark, Mei depan. – Bernama