Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Malaysia minat anjur Sukan SEA 2027

    KUALA LUMPUR, 11 JAN – Malaysia menerusi Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyatakan minat untuk menjadi tuan rumah kepada Sukan SEA ke-34 pada tahun 2027.

    Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata demikian selepas Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) menghubungi MOM berhubung kebarangkalian menganjurkan temasya sukan itu susulan penarikan diri Brunei yang sepatutnya menjadi hos pada edisi berkenaan.

    “Mesyuarat telah bersetuju menghantar surat ‘Expression of Interest’ (tunjuk minat) ke SEAGF manakala MOM akan memanjangkan makluman ini kepada kerajaan dan perbincangan lanjut akan diadakan pada masa yang sesuai. Atas semangat persahabatan bersama SEAGF, saya rasa kami mempunyai peluang yang baik untuk mendapat hak penganjuran,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM kali ketiga sesi 2021/2025 di sini, hari ini.

    Bagaimanapun, beliau memaklumkan pihaknya akan melihat kepada kemampuan kewangan negara selain isu pandemik COVID-19 sebelum memutuskan untuk menganjurkan Sukan SEA itu.

    Ditanya sama ada Sukan SEA ke-34 bakal menjadi platform persediaan buat Malaysia menganjurkan Sukan Asia 2038, beliau berpendapat faktor kemudahan dan tahap aktif sukan atau atlet perlu diambil kira sebelum berminat menjadi tuan rumah temasya itu.

    Malaysia sebelum ini telah menganjurkan Sukan SEA sebanyak enam kali iaitu 1965, 1971, 1977, 1989, 2001 dan 2017 namun belum pernah menjadi hos Sukan Asia.

    Dalam pada itu, Mohamad Norza memaklumkan mesyuarat telah bersetuju untuk melantik Penolong Bendahari MOM, Datuk Mohd Nasir Ali sebagai Ketua Kontinjen (CDM) Sukan SEA ke-32 di Kemboja tahun depan manakala Presiden Persatuan Squash Malaysia, Gerard Monteiro dilantik Timbalan CDM bagi Sukan Komanwel Birmingham, United Kingdom, Julai ini. – Bernama

    Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menyatakan MOM berminat untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-34 pada tahun 2027. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...