Thursday, October 10, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia negara tua menjelang tahun 2035

    SEJAK tahun 1960-an, terdapat peningkatan jumlah dalam kalangan warga tua di Malaysia. Ia mungkin disebabkan oleh kemajuan sains dan teknologi perubatan, peningkatan taraf hidup, penurunan kadar mortaliti, kemerosotan kesuburan, peningkatan tahap pendidikan dan kesedaran terhadap kepentingan kesihatan.

    Peningkatan jangka hayat penduduk itu menyebabkan kumpulan umur yang lebih tua meningkat secara signifikan sehingga boleh memberi implikasi kepada ekonomi dan sosial.

    Dari segi ekonomi, terdapat beban kewangan terhadap individu, ahli keluarga dan kerajaan. Dari segi sosial pula, ia melibatkan penyediaan kemudahan perumahan dan kesihatan yang melibatkan perbelanjaan besar.

    Jika keadaan itu berlaku, Malaysia mungkin dipenuhi dengan rakyat berusia yang miskin, sakit dan terpaksa bekerja tanpa sokongan anak atau cucu.

    Ketua Pusat Penyelidikan Rehabilitasi Komuniti dan Penuaan (H-Care) Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Suzana Sahar berkata, Malaysia akan dinobatkan sebagai negara tua pada tahun 2035 apabila 12 peratus daripada populasi di negara ini terdiri daripada warga berusia 60 tahun ke atas.

    Prof. Dr. Suzana Sahar berkata Malaysia akan dinobatkan sebagai negara tua pada tahun 2035 apabila 12 peratus daripada populasi di negara ini terdiri daripada warga berusia 60 tahun ke atas.
    Jika dibandingkan dengan negara lain, Perancis misalnya mengambil masa 115 tahun untuk menjadi negara tua, Amerika Syarikat (70 tahun), Britain (45 tahun) dan Afrika Selatan (40 tahun).

    “Ini merupakan antara petunjuk bagi kemajuan sesebuah negara tetapi fenomena penuaan di Malaysia agak membimbangkan kerana ia dikatakan sebagai penuaan pada tahap ketidakupayaan yang tinggi.

    “Antara akibat daripada peningkatan mendadak itu adalah peningkatan penyakit obesiti dan penyakit kronik yang menyerang pada usia pertengahan dewasa.

    “Selain itu, gaya hidup tidak sihat, pelbagai faktor persekitaran dan budaya juga merupakan antara sebab utama kepada masalah ini,” katanya pada Majlis Perasmian H-Care di Dewan T1BE, UKM Kampus Kuala Lumpur baru-baru ini.

    Tambahnya, keadaan itu menjadi lebih membimbangkan jika tiada perubahan atau penyesuaian dasar dilaksanakan.

    Keadaan itu juga diburukkan dengan penurunan kadar kesuburan yang akan mengurangkan jumlah kanak-kanak menjelang tahun 2050, sekali gus memberi kesan pada keadaan sosial, industri pekerjaan serta pertumbuhan ekonomi negara.

    Lebih pantas

    Di Malaysia, fenomena itu berlaku lebih pantas dan dasar semasa pula tidak bersedia sama sekali untuk menghadapi situasi tersebut.

    Jika dibandingkan dengan negara lain, Perancis misalnya mengambil masa 115 tahun untuk menjadi negara tua, Amerika Syarikat (70 tahun), Britain (45 tahun) dan Afrika Selatan (40 tahun).

    Fenomena itu mendorong kepada penubuhan H-Care yang merupakan entiti yang memainkan peranan penting dan aktif dalam meneraju penyelidikan berkaitan rehabilitasi komuniti serta penuaan.

    Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat UKM, Prof. Datuk Dr. Imran Ho Abdullah pula berkata, bidang penyelidikan rehabilitasi komuniti dan penuaan adalah sangat relevan serta merupakan salah satu keperluan negara iaitu rehabilitasi merupakan komponen penting dalam penjagaan kesihatan.

    “Ia diharap dapat menyemarakkan lagi penyelidikan bagi menaik taraf indeks kesihatan serta kualiti hidup populasi,” ujarnya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda