KUALA LUMPUR, 20 Feb – Malaysia memanggil Duta Korea Utara untuk ditegur berhubung tindakan Pyongang membidas penyiasatannya ke atas pembunuhan Kim Jong-Nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, yang memburukkan lagi pertikaian diplomatik.
Lima warga Korea Utara ditahan ekoran pembunuhan minggu lalu di lapangan terbang yang mengundang tindak balas berang dari Pyongyang yang menuduh Kuala Lumpur berkomplot dengan ‘pasukan seteru’ untuk merosakkan reputasinya.
Malaysia memanggil pulang utusannya ke Pyongyang dan memanggil Duta Korea Utara ke Kuala Lumpur yang dimaklumkan bahawa tuduhannya adalah ‘tidak berasas’, menurut kenyataan kementerian luar.
“Kementerian itu menekankan bahawa kerana kematian berlaku di bumi Malaysia dalam keadaan misteri, adalah menjadi tanggung jawab kerajaan Malaysia untuk menjalankan penyiasatan untuk mengenal pasti punca kematian,” menurutnya.

Pertikaian meletus apabila polis Malaysia menolak permintaan diplomat-diplomat Korea Utara supaya menyerahkan mayat Kim Jong-Nam selepas jelas dia telah diracun di lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur.
Duta Kang Chol minggu lalu memberitahu para pemberita di luar rumah mayat tempat mayat Kim Jong-Nam disimpan, bahawa Malaysia menerima tekanan dari Korea Selatan dalam usaha untuk memfitnah jiran utaranya.
Seoul telah menyalahkan Korea Utara di atas serangan itu dengan mengatakan ‘perintah tetap’ dari Kim Jong-Un untuk membunuh abangnya dan usaha pembunuhan gagal dalam tahun 2012 selepas dia mengkritik rejim itu. – AFP