Malaysia pantau keselamatan susulan amaran Jepun

PUTRAJAYA, 13 SEPT – Agensi keselamatan Malaysia, khususnya Polis Diraja Malaysia,  memantau rapat situasi semasa selepas Jepun mengeluarkan amaran kepada warganya termasuk di Malaysia mengenai kemungkinan ancaman pengganas di Asia Tenggara.

Menurut Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Isnin pihaknya telah  memaklumkan nasihat yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Jepun mengenai kemungkinan ancaman itu kepada pihak berkuasa berkaitan di Malaysia.

“Malaysia terus memperkukuh kerjasama dalam bidang keselamatan, termasuk dalam usaha memerangi keganasan, dengan negara rakan kita di seluruh dunia. “Perkongsian perisikan dan amalan terbaik adalah komponen penting dalam kerjasama ini,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, seorang pegawai dari Kedutaan Jepun di Kuala Lumpur ketika dihubungi Bernama  mengesahkan amaran telah dikeluarkan kepada warganegara Jepun di Malaysia mengenai kemungkinan ancaman pengganas di rantau ini. Menurut laporan media, Kementerian Luar Jepun telah menasihatkan semua rakyatnya di Indonesia, Filipina, Singapura, Malaysia, Thailand dan Myanmar untuk mengelak berada berdekatan dengan kemudahan keagamaan dan kawasan sesak yang lain. 

“Kami mengeluarkan nasihat tersebut selepas menerima arahan dari Tokyo,” katanya tanpa memperincikan lebih lanjut mengenai hal itu. – Bernama