Malaysia perkenal PENJANA gerak ekonomi

PUTRAJAYA, 5 JUN – Dalam menghadapi cabaran ekonomi negara susulan pandemik COVID-19, kerajaan memperkenalkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dalam memperkasakan rakyat dan merangsang ekonomi. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membentangkan pelan jangka pendek bertemakan ‘Bersama Menjana Ekonomi’ itu berkata, ia juga untuk melonjakkan perniagaan.

Kerajaan menggariskan 40 inisiatif dengan peruntukan RM35 bilion bagi mencapai matlamat-matlamat tersebut dengan RM10 bilion merupakan suntikan fiskal langsung daripada kerajaan. Agenda utama dalam memperkasakan rakyat adalah untuk mengatasi kebimbangan rakyat mengenai risiko kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan berikutan banyak aktiviti ekonomi terjejas dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac.

Untuk menangani cabaran kadar pengangguran yang meningkat dan memastikan pengekalan pekerjaan, kerajaan memperuntukkan hampir RM9 bilion yang akan memanfaatkan tiga juta tenaga pekerja melalui beberapa inisiatif.

Bagi meningkatkan keyakinan ibu bapa untuk menghantar semula anak-anak mereka ke taska, kerajaan akan memberi geran kepada pengendali taska untuk mematuhi dan melaksanakan SOP yang ditetapkan, manakala orang ramai hanya perlu membayar RM30 sebulan untuk pas pengangkutan awam tanpa had. Nasib golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan ibu tunggal turut mendapat menerima bantuan one-off RM300 bagi mengurangkan beban mereka dengan bayaran sebelum Hari Raya Aidiladha.

Sektor pelancongan yang terjejas turut dibantu melalui Skim Pembiayaan Pelancongan PENJANA bernilai RM1 bilion bagi membiayai inisiatif transformasi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) agar terus berdaya saing dalam era kebiasaan baharu.

“Kerajaan akan membantu perniagaan, sama ada besar atau kecil, menerusi beberapa langkah,” kata Muhyiddin. – Bernama

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada perutusan khas, kelmarin. – Bernama