Malaysia perlu tangani isu penduduk menua, kekurangan dana persaraan

KUALA LUMPUR –  Suruhanjaya Sekuriti (SC) berkongsi kebimbangan akan keperluan bagi kerajaan Malaysia dan pihak berkuasa untuk menangani isu penduduk menua negara ditambah dengan pengurangan dalam dana persaraan.

Pelan Induk Pasaran Modal Suruhanjaya Sekuriti 3 (CMP3) yang dilancarkan pada 21 Sept, 2021, menunjukkan bahawa isu penduduk menua di negara ini merupakan satu masalah membimbangkan dan jika tidak ditangani akan menjadi satu masalah sosial yang serius.
 
Gaji rendah di Malaysia satu kebimbangan 

Pengerusi Institut bagi Penyelidikan Pasaran Modal (ICMR) Tan Sri Dr Munir Majid berkata Malaysia akan berubah daripada negara menua kepada negara tua dalam masa hanya kurang daripada 25 tahun, sedangkan Perancis mengambil masa 115 tahun, Sweden 85 tahun dan United Kingdom 45 tahun untuk mencapai tahap itu.

Tidak seperti Malaysia, negara-negara tersebut mempunyai masa yang mencukupi untuk membangun dan bersiap sedia dengan peningkatan kecekapan per kapita dan beransur-ansur menaikkan usia persaraan.  

“Meskipun begitu, mereka tetap bergelut dan apatah lagi Malaysia, sekiranya kita tidak menangani perkara ini dengan segera. 

“Kita mempunyai perlindungan persaraan yang rendah, tidak mencukupi serta cabaran kemampanan yang diburukkan lagi oleh pandemik COVID-19, dengan kemudahan pengeluaran daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang membolehkan bantuan jangka pendek, dengan kesan jangka panjang yang menjejaskan,” katanya. 

Beliau berkata mengenai kecukupan, sehingga Jun 2021, 6.3 juta orang mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam Akaun 1 KWSP mereka.

“Satu daripada penyebab kepada kekurangan kecukupan ini adalah gaji yang rendah di Malaysia. 

“Malahan sebelum pandemik, Bank Negara Malaysia (BNM) menekankan bahawa pendapatan yang diterima pekerja Malaysia tidak setanding dengan nilai output yang mereka hasilkan,” katanya. 

Munir menambah sehingga 27 peratus daripada isi rumah di Lembah Klang, misalnya, berpendapatan di bawah ‘gaji yang sepatutnya’.

Turut bersetuju dengan Munir, Felo terkemuka Asia Global Institute, Universiti Hong Kong, Tan Sri Andrew Sheng berpendapat bahawa masalah dengan masyarakat yang semakin menua ialah dana persaraan tidak pernah cukup untuk masa depan mereka kerana jangka hayat menjadi semakin panjang.

Di samping itu, generasi muda juga turut bergantung kewangan daripada ibu bapa mereka.

“Malaysia sebenarnya mempunyai sistem KWSP yang baik dan penjawat awam mempunyai skim pencen yang sangat baik tetapi masalah sebenarnya terletak pada mereka yang tidak termasuk dalam kedua-dua kategori itu,” katanya.

Sheng juga berkata ada pelbagai pilihan oleh kerajaan, seperti dana pencen swasta dengan insentif cukai, tetapi mereka yang berpendapatan rendah tidak mampu mencarum dengan lebih tinggi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Perancang Kewangan Malaysia (FPAM), Linnet Lee berkata jika Malaysia meneruskan trajektori ini tanpa intervensi, kebajikan sosial kerajaan mungkin terbeban dari segi kewangan dan akan mempengaruhi kualiti sokongan dan penjagaan.

Memetik kajian yang dijalankan oleh Universiti Sains Islam Malaysia mengenai kesan penduduk menua di Malaysia, Lee berkata kenaikan 10 peratus pada penduduk berusia 60 tahun dan ke atas menyebabkan kejatuhan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita sebanyak 5.7 peratus.

“Dapatan itu juga menunjukkan bahawa penurunan penglibatan tenaga kerja dan produktiviti disebabkan oleh pertambahan penduduk menua dan kemerosotan pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Lee mencadangkan orang ramai untuk meningkatkan caruman ke dalam KWSP dan memulakan simpanan persaraan swasta seperti Skim Persaraan Swasta (PRS).

Beliau berkata rakyat Malaysia boleh meminta pertolongan daripada pelbagai entiti seperti perancang kewangan berlesen, wakil penasihat kewangan, perunding PRS atau jika kosnya menjadi masalah, penasihat robo akan menjadi alternatif yang lebih berpatutan. – Bernama