Malaysia proaktif laksana projek tanaman jagung bijian

KUALA LUMPUR, 17 Dis – Kerajaan Malaysia masih meneruskan projek penanaman jagung bijian bagi mengurangkan 30 peratus kebergantungan import bahan makanan untuk sektor penternakan, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin (gambar bawah).

Beliau berkata ia adalah antara langkah menangani kenaikan harga telur di pasaran tempatan memandangkan industri ternakan khususnya ayam pedaging dan penelur menggunakan kira-kira 60 peratus jagung bijian dalam formulasi makanan ternakan.

“Pembangunan industri ternakan negara bergantung sepenuhnya kepada jagung bijian import dengan nilaian 1.79 juta tan metrik daripada pasaran dunia bersamaan RM1.62 bilion pada 2017.

“Kebergantungan sepenuhnya kepada bekalan jagung bijian import ini mewujudkan risiko dan ketidakstabilan industri ternakan negara,” katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Lim Pay Hen pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kenaikan harga telur di pasaran tempatan yang berlaku kebelakangan ini disebabkan kos bekalan makanan ayam yang diimport.

Justeru, Sim berkata antara strategi yang dilaksanakan adalah memperluaskan penanaman jagung bijian menggunakan model individu atau berkelompok, syarikat besar atau koperasi dan usahawan.

Kerajaan turut melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) jagung bijian seperti teknologi benih, penanaman dan pengeluaran. – Bernama