Malaysia raih pengiktirafan dunia

KUALA LUMPUR, 21 APRIL – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus berusaha mengekang penularan wabak COVID-19 sehingga Malaysia mendapat pengiktirafan dunia.

Pada satu sidang video bersama petugas kesihatan Hospital Sungai Buloh, Muhyiddin menyifatkan pengiktarafan itu hasil daripada peranan yang dimainkan mereka dan kesemua barisan hadapan yang lain.

“Saya sampaikan kepada mereka yang dunia kini mengiktiraf keupayaan negara dalam menangani penularan COVID-19. Ini semua adalah kerana peranan yang dimainkan oleh mereka dan semua barisan hadapan dalam menjayakan langkah yang diambil kerajaan.

“Kita adalah antara yang terbaik di dunia! Namun, saya ingatkan bahawa perjuangan belum berakhir. Masih banyak yang perlu kita lalui,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Sidang video pagi ini turut disertai Pengarah Hospital Sungai Buloh Dr Kuldip Kaur, Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit Dr Yasmin Mohamed Gani dan tujuh anggota perubatan di pelbagai peringkat yang terlibat memerangi COVID-19 di hospital itu.

Muhyiddin berkata, situasi terkini perkembangan kes COVID-19 dalam negara yang menunjukkan trend penurunan adalah hasil peranan dimainkan petugas kesihatan serta semua anggota barisan hadapan seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan pelbagai agensi lain termasuk para sukarelawan yang bertungkus-lumus melaksanakan tugas masing-masing. – Bernama